KUALA LUMPUR – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengulangi pendiriannya agar adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaksanakan segera tanpa perlu melalui perbicaraan lanjut.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sejak awal beliau bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan kewujudan adendum tersebut dan perkara itu juga telah disahkan oleh mahkamah minggu lalu.
**media[3240473]**
“Daripada awal lagi, saya bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa adendum itu memang wujud. Sebab itu kami berdua telah membuat afidavit. Minggu lepas, mahkamah sudah memutuskan 3-0 bahawa adendum itu wujud.
“Bagi kita, kita ingin Datuk Seri Najib mendapat pengadilan yang sewajarnya. Itulah kehendak dan hasrat kita dan kita harap ia dapat diselesaikan. Saya juga telah lama menyatakan pendirian bahawa adendum ini perlu dilaksanakan segera,” ujarnya ketika ditemui selepas menghadiri Program Larian Tok Gajah Kuala Lumpur Edisi 2025 di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, pada Ahad.
Menurut Wan Rosdy, pelaksanaan adendum tersebut akan memberi semangat tambahan kepada ahli UMNO untuk terus berjuang, khususnya selepas isu berkenaan terbukti mempunyai asas.
“Kalau boleh, tidak perlu dibicarakan lagi kerana ia memang telah wujud. Sudah pastinya, sekiranya cerita adendum ini dilaksanakan, ia akan memberi semangat yang lebih kepada ahli UMNO untuk terus berjuang,” katanya lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran acara sukan tersebut, Wan Rosdy berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 3,000 peserta bagi Larian Tok Gajah dan hampir 3,000 bagi Larian Negaraku.
Beliau berkata, keseluruhannya lebih 10,000 orang membanjiri Dataran DBKL bagi menyertai acara yang memasuki edisi kedua penganjurannya.
“Kehadiran kali ini meningkat berbanding tahun lalu yang mencatat lebih 2,000 penyertaan. Larian Tok Gajah ini melambangkan solidariti anak-anak Pahang di perantauan yang tetap utuh dan kukuh walau di mana pun mereka berada.
“Tok Gajah ini melambangkan keberanian dan semangat berpasukan pahlawan dari negeri Pahang. Insya-Allah, acara ini akan kita jadikan acara tahunan,” katanya.
Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada anak-anak Pahang yang hadir memeriahkan program berkenaan serta menyatakan bahawa beliau sendiri bersama rakan-rakan akan cuba berlari sehingga ke garisan penamat.